Kabinet simpati kejadian remaja mati ditembak

Kabinet melahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak dalam satu kejadian melibatkan anggota polis di Shah Alam pada Isnin lepas dan mahu siasatan dibuat secara telus.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata beliau telah membangkitkan kes itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kita juga minta kes itu tidak dipolitikkan kerana jika ia menjadi isu politik, maka sukar kes itu hendak diselesaikan," katanya kepada pemberita di majlis penyampaian cek bernilai RM3 juta kepada SJK (C) Rasa di Putrajaya yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Noh, yang juga timbalan pengerusi Umno Selangor, diminta mengulas insiden kematian remaja berusia 15 tahun itu yang dilaporkan ditembak oleh polis ketika didakwa cuba mengundur kenderaan yang dipandunya ke arah anggota polis.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan penubuhan pasukan khas yang diketuai oleh timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi menyiasat kejadian itu.

Noh berkata beliau telah berbincang dengan Hishammuddin mengenai perkara tersebut dan diberikan jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat secara telus.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang turut hadir di majlis itu berkata pasukan khas yang ditubuhkan itu turut perlu melibatkan wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Cara kerajaan mengendalikan kes tersebut juga penting untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan benar-benar melakukan siasatan. Kerajaan juga perlu memastikan sesiapa yang melakukan kesalahan atau kesilapan perlu berdepan dengan tindakan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) mencadangkan agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang dilaporkan ditembak mati oleh polis di Shah Alam pada Isnin lepas.

Presidennya Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata Suhakam sebagai badan yang bebas harus menyiasat kes itu sebagai pihak ketiga kerana ia tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam isu itu bagi memastikan siasatan yang dijalankan telus.

"Kita bukan nak kata polis tak boleh buat siasatan tapi kerana dia (polis) sendiri terlibat, maka Suhakam dilihat sebagai pihak bebas yang boleh menjamin ketelusan siasatan.

"Suhakam harus lebih proaktif terhadap kes-kes yang melibatkan hak asasi manusia terutamanya yang mendapat liputan meluas media kerana dia ada akta yang membenarkan siasatan dijalankan tanpa menunggu laporan," katanya kepada Bernama hari ini.

Aminulrasyid Amzah, 15, dilaporkan mati terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan pula mencadangkan agar satu inkues dijalankan kerana berlaku kematian dalam satu operasi polis.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) dengan segera memandangkan akta SIAP itu telahpun diwartakan pada pertengahan tahun lepas.

Jika SIAP ditubuhkan, "sudah tentu ia dapat menjalankan siasatan segera berbekalkan peruntukan yang digariskan dalam Akta SIAP 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memandangkan keanggotaan suruhanjaya itu tidak boleh membabitkan mana-mana individu yang sedang atau pernah berkhidmat selaku pegawai penguatkuasa, "ini mampu memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa tiada unsur berat sebelah dalam siasatan yang dikendalikan," katanya.

mentara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam satu kenyataan berkata bahawa siasatan perlu diselesaikan segera oleh sebuah jawatankuasa khas agar keadilan dapat dilaksanakan dengan telus.

Ketua Pemudanya Datuk Dr Wee Ka Siong pula berkata dalam era ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat, hasil siasatan itu perlu dihebahkan bagi mengelak sebarang kecurigaan yang akan timbul mengenai masalah yang cuba disembunyikan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Nasrudin Hassan Tantawi pula mahu siastan ke atas kes itu dijalankan dengan terperinci dan telus.

- Bernama

Read more


Ezam Mohd Nor antara empat dilantik senator

Bekas ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor adalah antara empat orang yang akan dilantik sebagai Senator.

Menurut The Star Online, mereka yang lain termasuk timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel, pengerusi eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.

NONEMereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan presiden Senat, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara, Isnin depan.

Ezam (kiri) juga adalah bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terkenal kerana pernah mengakui mempunyai enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

Dia bagaimanapun kemudian menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa kotak itu suatu pembohongan dan dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, Ezam berkata dia bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan mereka tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

NONESementara itu, bagi timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel, ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia.

Perlantikannya itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi sebaliknya menyokong calon kompromi, P Kamalanathan.

Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga dijangka akan diberikan jawatan sebagai timbalan menteri.

Read more


Pindaan Akta Pengangkutan Jalan ditarik balik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz hari ini mengesahkan bahawa rang undang-undang cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan - termasuk mengenakan denda maksimum RM1,000 - akan ditarik balik.

Rang undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Bercakap dalam satu sidang media di lobi Parlimen, Nazri berkata, beliau meneima surat dari kelab penyokong BN (BNBBC) mengenai perkara itu.

Nazri berkata, rang undang-undang itu ditarik balik bagi menggugurkan tiga daripada 51 fasal yang dicadangkan pindaannya.
Tiga fasal yang akan digugurkan ialah:

1. Fasal 8 yang melarang mana-mana pihak kecuali Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membuat, mengeluar, mengedar, menjual atau memasang plat nombor pendaftaran;

2. Fasal 22 bagi menaikkan had umur kelayakan memohon lesen memandu daripada 16 ke 17 tahun; dan

3. Fasal 46 yang menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 kepada M1,000.

Menurutnya, rang undang-undang itu akan dibentangkan semula dalam sesi akan datang, selepas kajian terhadapnya selesai dilakukan.

Manakala pegawai Parlimen berkata, kerajaan BN mempunyai tempoh hingga esok untuk menarik balik rang undang-undang tersebut.

Read more


Hisham: Gambar minum arak, bogel - semua fitnah

Gambar bertindih (superimpose) Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan keluarganya yang tersebar di internet disifatkannya sebagai permainan kotor yang biasa berlaku dalam arena politik.

Hishammuddin berkata beliau menyedari gambar-gambar tersebut sudah berada di blog-blog lebih lapan tahun yang lalu namun sejak akhir-akhir ini, isu tersebut seakan-seakan sengaja dimainkan dan dibangkitkan semula.

"Ini semua fitnah, selama ini saya malas melayan perkara sebegini dalam internet, jika mereka mahu terus-terusan memfitnah, terserah, kerana sedikit pun tidak akan menggugat keselamatan negara.

"Tetapi yang menjadi persoalan sekarang, mengapa mereka menggelabah dan melatah dalam konteks tuduhan yang dibuat terhadap pemimpin dan calon mereka di Hulu Selangor serta mengapa baru sekarang gambar ini dibangkitkan selepas lapan tahun," katanya.

Beliau berkata antara gambar yang tersebar termasuklah gambar seorang wanita berbogel yang didakwa sebagai anak beliau sedangkan beliau langsung tidak mengenali wanita itu.

Tambah menyedihkan, katanya, apabila isterinya turut menjadi mangsa apabila gambarnya ditindih dengan tangan seakan-akan makhluk asing selain gambar yang mendakwa Hishammuddin kaki botol dan kaki perempuan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan memastikan anggota polis ditempatkan di kawasan Parlimen Hulu Selangor mencukupi bagi mengawal keadaan terutamanya pada hari pengundian 27 April depan.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan keadaan di Hulu Selangor terkawal sepanjang tempoh pilihan raya dan tidak sepanas berbanding pilihan raya kecil tempat lain sebelum ini.

"Contohnya pada hari penamaan calon, kalau hendak bandingkan dengan Ijok dan yang lain, jauh berbeza dan terkawal malah insiden yang dilaporkan hingga sekarang, tidak serius," katanya.

- Bernama

Read more


DAP cabar Umno buat pengakuan tak minum arak

Pemimpin veteran pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mencabar Umno dan menteri-menteri kabinet beragama Islam untuk tampil membuat pengakuan bahawa mereka tidak pernah meminum alkohol, khususnya semasa muda.

Sasaran utama Lim adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Lim membuat cabaran itu ketika membahaskan rang undang-undang Akta Pemberi Maklumat.

Dakwanya, jika minum alkohol dijadikan kayu pengukur bagi memilih menteri-menteri BN, ramai pemimpin berkenaan akan tersingkir.

"Jika minum pada zaman lalu menghalang seseorang daripada memegang jawatan, kita akan kehilangan separuh daripada jemaah menteri, termasuk duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat,” kata Lim.

Read more


Snap secara rasmi sertai Pakatan Rakyat

Parti Nasional Sarawak (Snap) secara rasmi menjadi anggota keempat Pakatan Rakyat, - menjelang pilihan raya kecil parlimen Sibu pada 16 Mei ini.

Mengumumkan kemasukan Snap hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tugas pertama parti itu ialah menyokong calon DAP yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

Pengumuman calon Pakatan itu akan dibuat pada 27 April.

Snap adalah antara parti tertua di Sarawak dan pernah menjadi anggota parti pemerintah Barisan Nasional sebelum menjadi parti pembangkang.

Mereka tidak mempunyai sebarang kerusi di dewan undangan negeri Sarawak.

Ahad lalu, Anwar dan beberapa pemimpin Pakatan berjumpa di Sibu bagi memeteraikan kerjasama berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2008, kekurangan penyelarasan menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru di antara Snap, DAP dan PKR - satu tindakan yang memberi kelebihan kepada BN.

Read more


Hulu S'gor: Chandran tarik diri


Ahli perniagaan, V S Chandran telah menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor. Berikutan itu, pilihan raya kecil itu pada 25 April ini, akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Mereka ialah calon BN P Kamalanathan, Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan seorang calon bebas, Johan Mohd Diah.

Read more


Dr Halili keluar PKR masuk Umno

Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Umno.

Dr Halili Rahmat (foto:kiri) merupakan seorang pakar bedah saraf dan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pernah menjadi doktor peribadi ketua umum PKR itu.

Sebelum ini, beliau disebut-sebut antara yang disenaraikan untuk bertanding mewakili PKR dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Bagaimanapun, Anwar kemudiannya mengumumkan pemilihan penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.

Anak kelahiran Ulu Yam, Dr Halili pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.

Bercakap dalam sidang akhbar dengan ditemani bekas setiausaha agung PKR, Salehuddin Hashim, beliau berkata:

"Saya menyedari akan ada yang menuduh bahawa tindakan saya ini kerana kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil parimen Hulu selangor kali ini.

"Saya tidak pernah meminta atau menawar diri untuk dipilih menjadi calon PKR dalam pilihan raya ekcil Hulu Selangor ini, dan saya juga tidak pernah mengatakan saya menerima pelawaan untuk menjadi calon, walaupun ada pemimpin PKR yang telah mencadangkan demikian."

Dr Halili berkata, walaupun beliau pernah bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi "bagi pilihan raya kecil kali ini, saya merasa berat kerana realiti di peringkat masyarakat bawahan kini sudah berubah."

"Saya juga membuat kenyataan ini pada hari ini semasa kehangatan kempen pilihan raya Hulu Selangor dengan tujuan tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya terhadap PKR masih sama seperit di zaman Deklarasi Permatang Pauh," tambahnya.

Sebagai anak jati Hulu Selangor yang masih berkampung di Ulu Yam, Dr Halili berkata amat sukar baginya untuk mempertahankan kredibiliti PKR.

Beliau mendakwa, ia memandang tidak ada apa pun yang telah dibuat oleh PKR untuk kesejahteraan pengundi Hulu Selangor dalam masa dua tahun parlimen ini dikuasai oleh PKR dan Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

"Saya mengetahui dan faham bahawa allahyarham wakil rakyat sebelum ini, uzur tetapi menghairan saya kenapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat beliau untuk memberi khimdat kepada pengundi di Hulu Selangor," tambahnya.

Sehubungan itu, Dr Halili berkata, terbukti yang PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya sahaja tetapi mengabaikan amanah rakyat seperti yang dijanjikan masa kempen pilhan raya.

"Perkara sedemikian tidak ssepatutnya berlaku dan saya diberitahu oleh orang kampung saya bahawa mereka akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi," tambahnya.

Sebab masuk Umno

Dr Halili juga mendakwa bahawa PKR hari ini dikuasai oleh kumpulan kecil pemimpinnya yang berfikiran sempit dan memajukan ideologi-ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Sehubungan itu, beliau mendakwa bahawa sudah nyata lagi jelas, PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan "tetapi lebih condong kepada parti yang pentingkan kuasa, hingga tidak memperdulikan kesejahteraan rakyat walaupun diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri."

Sebaliknya, kata beliau, pada masa yang sama, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik untuk Umno dan BN.

Ini, katanya, mendorong beliau terus membuat keputusan untuk menyertai Umno.

'Mungkin diberi bedah hidung pula'

Dr Halili juga berkata keputusannya keluar parti dan menyertai Umno sudah lama dibuat.

Ditanya kenapa beliau hadir pada hari pengumuman calon PKR pada 13 April lalu, beliau hanya menjawab:

"Mungkin nama saya dicalonkan, dinaikkan saya kena datanglah. Ingin tahu, kerana kamu juga yang tulis dalam suratkhabar media, anak tempatan, perkara macam itu," katanya,.

Beliau juga memberitahu, itu kali terakhir beliau bertemu Anwar.

Sejak disebut-sebut disenarai pendek menjadi calon PKR, ini merupakan kali pertama Dr Halili bersemuka dengan media membuat kenyataan mengejutnya itu.

Bagaimanapun, pengumumannya yang dibuat sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membayangkkan membayangkan perkara itu, menimbulkan tandatanya sama ada beliau ditawarkan 'imbuhan' untuk itu.

Dr Halili bagaimanapun menafikannya dengan separuh berjenaka: "Saya sekarang ini (pakar) bedah otak, mungkin dia beri saya bedah hidung. Tak tahulah," kata Dr Halili.

Bagaimanapun, tambahnya, jika terdapat pihak yang akan menuduhnya dibeli, itu terpulanglang kepada mereka.

"Memang adatlah. Tetapi kita masyarakat sivil, sangat tamadun, ada demokrasi. Jadi macam-macam pandangan ada. Jadi kita kena hormatilah pandangan yang berbeza," katanya

Beliau juga enggan mengulas mengenai pencalonan Zaid dan calon BN P Kamalanathan atau akan turut serta berkempen di Hulu Selangor.

Sebaliknya, jelas Dr Halili, beliau akan berlepas ke Melbourne, Australia selepas ini bagi menghadiri konvokesyennya di Universiti Monash - satu keputusannya yang didakwa sudah lama dibuat dan "bukan untuk lari".

Dalam sidang media kira-kira 25 minit itu, Dr Halili bagaimanapun kelihatan sedikit 'gugup' dengan mengabaikan beberapa soalan media, kerap meneguk air dan kerap kali mengambil masa dan berbisik kepada Salehuddin sebelum menjawab soalan.

Malah di pertengahan sidang media beliau sempat berkata: "tak pernah dapat banyak kamera sebelum ini."

Bagaimanapun, di penghujung sesi itu beliau kelihatan lebih yakin apabila meminta soalan tambahan walaupun Salehudin sudah mahu menamatkan sidang media itu.

"Seronok juga, boleh tanya dua lagi, bukan selalu boleh macam ni," katanya disambut gelak ketawa kira-kira 70 petugas media.

Sumber Malaysiakini

Read more


Bilik gerakan lesu: Samy temui pemimpin akar umbi

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan calon BN P Kamalanathan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin akar umbinya daripada seluruh 75 cawangan parti itu di Hulu Selangor petang ini bagi "memulihkan motivasi dan semangat berkempen" mereka.

Seorang pemimpin MIC cawangan memberitahu Malaysiakini, pertemuan tersebut akan diadakan pada jam 5 petang ini di bilik gerakan MIC di Kuala Kubu Bharu.

"Apabila pemimpin-pemimpin ini berjumpa dengan Kamalanathan dan Samy, dan mendapat penjelasan mereka, mereka (pemimpin akar umbi) akan lebih bermotivasi, lebih semangat untuk kempen," kata ketua cawangan MIC Taman Juta KD Raj (kiri).

Beliau diminta mengulas tahap kesediaan jentera MIC yang mungkin berdepan dengan 'keretakan' ekoran pemilihan Kamalanathan sebagai 'calon kompromi' dengan mengenetepikan dua lagi pemimpinnya - timbalan presiden G Palanivel dan ketua Pemuda bahagian, V Mugilan.

Raj berkata, majoriti pemimpin akar umbi MIC sedang menunggu Samy memperkenalkan calon pilihan BN kepada mereka petang ini.

Tinjauan Malaysiakini tengah hari ini juga mendapati, bilik gerakan MIC masih lengang dan tidak aktif. Hanya kelihatan kira-kira sepuluh orang petugas parti sahaja ketika kunjungan tersebut kira-kira jam 12.30 tadi.

Raj juga mengakui, semenjak dua hari lepas, aktiviti bilik gerakan parti itu dan kunjungan daripada rumah ke rumah masih perlahan.

Mengaku berkempen untuk Palanivel sebelum ini, Raj juga mendakwa Mugilan "bertindak seorang diri" dan cuba menonjolkan dirinya mendapat sokongan daripada sayap Pemuda parti itu.

Sementara itu, bendahari MIC Hulu Selangor D Arumugam (kiri) juga mendakwa 'kelembapan jenteranya' sebelum ini ekoran tindak tanduk Mugilan yang didakwanya berkempen supaya dipilih menjadi calon.

Bagaimanapun, tambah Arumugam, mereka kini telah menerima Kamalanathan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam.

Menjelang pengumuman itu, sehari sebelum itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin adalah antara pemimpin penting Umno yang dilaporkan berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, masyarakat di kawasan itu mahukan calon daripada golongan muda MIC.

Kenyataan tersebut dilihat seakan-akan memberikan isyarat sokongan kepada Mugilan.

Sumber malaysiakini

Read more


Dr M: Don’t put APCO bill on my tab

http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/60162-dr-m-dont-put-apco-bill-on-my-tab
By Debra Chong

Dr Mahathir said the US had never shown displeasure at his administration. — file pic


KUALALUMPUR, April 16 — Tun Dr Mahathir Mohamad said today he disagrees withthe Najib administration for spending a whopping RM76 million toarrange a meeting between the prime minister and US President BarackObama earlier this week.
“Meeting is good but to say this money is spent because of whathappened in the past, I don’t think is good,” the former premier said,rubbishing claims the government needed to spend the enormous sum ofmoney.
Minister in the Prime Minister’s Department, Datuk Seri Nazri Azizhad disclosed this week the amount paid to global public relationsfirm, APCO Worldwide, and claimed it was necessary to “repair”Malaysia-US ties strained during his 22-year rule from 1981 to 2003.
“I don’t care,” Dr Mahathir said, when asked to comment on Nazri’s charge.
“Whether the ties are good or bad, the fact is the US has not doneanything that would show they were offended by us,” he added, citingthe absence of official US complaints lodged with his administration.
Dr Mahathir also pointed out that investments from the US continued to flow into Malaysia.
“We did not get anything from the US,” he claimed, but was quick tomake an exception that the world military superpower had given “onemillion US dollars” (RM3.2 million at current rates) to Malaysia “forthe training of our armed forces”.
“They want it back? We have one million US dollars,” he quipped.
Dr Mahathir was speaking to reporters after delivering a keynotespeech here, in conjunction with the 44th anniversary celebration ofMajlis Amanah Rakyat (Mara), a government agency formed to aid theindigenous community.
He appeared disinterested in continuing the subject, noting that hewas no longer in power. He noted that the Najib administration had theauthority to do as it sees fit with federal funds.
“If I’m in power, I have my own way of doing things,” he said with a smile, capping the subject.

Read more


Hulu S'gor: Kamalanathan lawan Zaid

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini akan menyaksikan ketua penerangan MIC, P Kamalanathan menentang Datuk Zaid Ibrahim dari PKR yang mewakili Pakatan Rakyat.

Pemilihan Kamala

nathan itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil mendapat tepukan gemuruh daripada ribuan penyokong BN di Bukit Sentosa, petang tadi.

Turut hadir ialah pemimpin parti komponen BN termasuk presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Kelibat timbalan presiden parti itu, Datuk G Palanivel yang ditolak oleh BN sebagai calon Hulu Selangor, tidak kelihatan.

Bagaimanapun , seorang lagi calon yang disokong oleh BN tetapi tidak dipersetujui oleh pemimpin MIC, iaitu timbalan ketua pemudanya, V Mugilan hadir dan beliau dilihat sebagai anatara pemimpin parti itu yang bersalaman dengan Kamalanathan sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Nama Kamalanathan memang telah disebut-sebut sebelum ini sebagai calon kompromi selepas pucuk pimpinan BN dikatakan menolak cadangan MIC untuk mencalonkan Datuk G Palanivel bertanding di situ.

Penyokong akar umbi, khususnya dari Umno sejak kematian ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu secara terang-terangan menolak Palanivel.

Mereka mendakwa beliau tidak cekap dan gagal membangunkan Hulu Selangor meskipun menjadi ahli parlimen selama empat penggal.

Sebaliknya, mereka yang menentang Palanivel mencadangkan timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan sebagai gantinya.

Mugilan adalah anak tempatan di Hulu Selangor tetapi pemimpin atasan MIC tidak merestui cadangan itu.

Ini kerana tidak ramai pemimpin atasan MIC memegang jawatan ahli parlimen ataupun ahli dewan undangan negeri dan jika Mugilan menang dia akan mempunyai kelebihan.

Pada mesyuarat tergempar jawatankuasa pusat MIC yang diadakan malam tadi, MIC berkeras mahukan hanya Palanivel sebagai calon mereka.

Jawatan senator, timbalan menteri

Mesyuarat itu juga mengambil keputusan untuk memecat timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan sekiranya dia dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Samy Vellu berjumpa dengan Muhyiddin awal pagi ini di pejabat timbalan perdana menteri di Putrajaya tetapi Muhyiddin dikatakan terus tidak berganjak dan menolak timbalan presiden MIC itu.

Sebagai kompromi, difahamkan Palanivel akan dilantik sebagai senator dan timbalan menteri kerana bersetuju memberi laluan kepada Kamalanathan.

Kamalanathan, adalah ketua perhubungan awam Beras Jati Sdn Bhd, sebuah syarikat peruncitan beras.

Beliau dipertanggungjawabkan oleh pemimpin MIC untuk menjenamakan semula parti itu selepas pilihan raya umum 2008 yang keputusannya memalukan mereka

Kamalanathan juga adalah seorang blogger, yang seringkali dijemput menghadiri rancangan ehwal semasa dan juga pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta.

Meskipun bukan anak tempatan Hulu Selangor, Kamalanathan menetap di Rawang, sebuah pekan yang tidak jauh dari kawasan pilihan raya itu.

Read more


MIC cadang Palanivel, Umno pilih Mugilan

Penamaan calon kerusi parlimen Hulu Selangor akan berlangsung pada Sabtu ini.

Pakatan Rakyat malam ini dijadual mengumumkan Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat sebagai calon mereka mankala Barsian Nasional pula berjanji akan membuat pengumuman dalam tempoh dua hari lagi.

Bendahari Umno Hulu Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom ketika dihubungi berkata calon BN itu akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 April ini, jam 4 petang bertempat di markas BN, Bukit Sentosa di Bukit Beruntung.

Lazimnya, BN seringkali mendahului pembangkang dalam menamakan calonnya tetapi kali ini menjelang tempoh kurang 48 jam seperti yang dijanjikan, siapa yang bakal mewakili mereka terus menjadi tanda tanya.

Sumber tertinggi dari MIC, petang tadi, mengesahkan bahawa Muhyiddin akan menamakan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan sebagai calon di kerusi Hulu Selangor.

Kurang senang

Namun keputusan itu dikatakan kurang disenangi oleh kebanyakan pemimpin atasan MIC.

Mereka tetap mahukan Timbalan Presiden G Palanivel mewakili BN bagi merampas Hulu Selangor.

"Jika Mugilan dinamakan sebagai calon, kepemimpinan MIC akan memecat Mugilan kerana melobi bagi kerusi itu dan juga mensabotaj aktiviti parti serta mencemarkan nama Palanivel,” kata sumber itu.

Menurut beliau lagi, ketika mesyuarat malam semalam di Parlimen, presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dilaporkan bertikam lidah dengan Muhyiddin berhubung pemilihan calon BN itu.

Sumber itu berkata Muhyiddin berkata Mugilan (kanan) adalah pilihan pemimpin BN tetapi pemimpin MIC yang hadir kurang menyenangi keputusan itu.

“Samy Vellu mempertahankan pemilihan MIC yang mahukan Palanivel dan ini menyebabkan mesyuarat menjadi hangat,” kata sumber itu.

Presiden MIC itu dilaporkan tidak mahu berganjak dengan pilihan partinya kerana persetujuan dikatakan telah dicapai antaranya dengan pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berjumpa dengan Samy Vellu (kiri, berdiri) awal minggu lalu sebelum beliau berlepas ke Hanoi dan kemudiannya ke Washington DC.

Moral rendah

“Sekarang ini, moral di kalangan ahli adalah rendah kerana khabar angin dan laporan media yang mendakwa kemungkinan calon pilihan parti akan diubah,” katanya.

Dalam pada itu, ketua bahagian MIC, Puchong yang juga anggota jawatankuasa pusat parti itu, A Saktivel berkata satu sidang akhbar akan diadakan esok.

"Kami mahu calon pilihan parti bukannya yang dipilih oleh Umno kerana perkara ini adalah maruah parti,” kata Saktivel yang akan mempengerusikan sidang media itu yang dijadualkan di ibupejabat MIC.

Beberapa penyokong akar umbi yang tidak mahu identiti mereka didedahkan juga mengugut tidak akan keluar mengundi dan membubarkan jentera parti jika calon pilihan MIC tidak dipilih.

Khabar angin juga tersebar bahawa beberapa cawangan Umno juga sedang melobi pada minit terakhir bagi menyokong Mugilan.

Mugilan dilahirkan di estet Kerling, Hulu Selangor dan adalah seorang ahli perniagaan.

Read more


Zaid Ibrahim calon Pakatan Rakyat di Hulu S'gor

Datuk Zaid Ibrahim hari ini dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Menurut

sumber, pemilihan Zaid itu dibuat oleh biro politik PKR yang bermesyuarat di rumah ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

“Keputusan memilih Zaid buat sebulat suara,” kata sumber itu lagi kepada wartawan Malaysiakini di luar rumah ketua pembangkang di Segambut, Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata PKR menamakan Zaid kerana beliau dilihat sebagai calon berwibawa yang mampu mempertahankan kerusi Hulu Selangor itu.

Zaid adalah bekas menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal perundangan ketika dalam barisan kabinet bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berpaling tadah ke PKR.

Beliau dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai calon Pakatan Rakyat di sebuah ceramah di Serendah, malam ini.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Read more


Umno mahu Mugilan di Hulu S'gor

Umno bahagian Hulu Selangor dikatakan mahu ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V Mugilan dicalonkan mewakil BN bertanding dalam pilihan raya kecil di situ pada 25 April ini.

"Beliau (Mugilan) sendiri pun sedar yang bahagian mahukan beliau menjadi calon," kata sumber-sumber yang rapat dengan BN.

Mugilan juga merupakan timbalan ketua Pemuda MIC pusat.
.

Sebelum ini, ini Umno bahagian berkata mereka menerima keputusan pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan MIC bertanding di situ tetapi menolak Datuk G Palanivel yang juga timbalan presiden MIC, dicalonkan semula.

Menurut sumber-sumber itu, Mugilan merupakan pemimpin akar umbi yang rapat dan mudah didampingi pemimpin Umno bahagian.

"Beliau mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno. Dia boleh makan bersama dengan pemimpin Umno.

"Malah, orang Umno menganggap Murigan bagaikan orang Umno, bukan MIC," kata sumber-sumber lagi.

Mugilan juga, menurut sumber-sumber itu, aktif terlibat di peringkat belia dan kini merupakan naib pengerusi majlis belia daerah Hulu Selangor.

Sebelum ini, Mugilan menyandang jawatan exco majlis belia daerah selama lapan tahun sejak 1997, menjadi naib pengerusi sejak 2005

"Beliau bermula dari bawah, (dan) berkawan dengan semua orang di akar umbi. Beliau rapat dengan golongan belia Melayu di situ," kata sumber-sumber itu lagi.

Selain Mugilan, koordinator Putera MIC, P Kamalanathan turut disebut-sebut menjadi calon di situ.

Sehingga semalam, MIC dilaporkan hanya mencalonkan Palanivel untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Sebelum ini, 54 pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung persekutuan (JKKKP) menuntut agar kerusi tersebut dikembalikan kepada kepada Umno.

Bagaimanapun, , Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudiannya mengumumkan MIC akan mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu, tetapi beliau tidak menyebut calonnya.

Palanivel mewakili parlimen Hulu Selangor sejak 1990 sebelum kalah kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR dalam pilihan raya umum 2008.

Zainal Abidin menumbangkan Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Kerusi tersebut kosong selepas kematian Zainal Abidin pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 17 April ini.

Sementara itu, ketua penerangan Umno bahagian Hulu Selangor, Yusof Nawawi, ketika ditanya mengenai perkara itu berkata: "Kalau Datuk Palanivel tidak dicalonkan semula, maka Mugilan adalah calon terbaik untuk menggantikannya."

Katanya, ia kerana Mugilan adalah anak tempatan di Hulu Selangor dan juga seorang pemimpin Pemuda MIC pusat.

Read more


Pisang dua kali, Chua ulangi kesilapan Ka Ting?

Presiden baru MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengambil pendekatan pragmatik apabila menamakan barisan kepemimpinan baru MCA Rabu lalu.

Selain melantik penyokong setianya ke jawatan utama, dia juga membuat kejutan dengan menamakan beberapa pemimpin persatuan dan dewan perniagaan Cina untuk menduduki majlis presiden.

Chua juga membawa anaknya, Tee Yong, yang juga ahli parlimen Labis,ke majlis presiden.

Bagaimanapun tindakan berkenaan mengundang rasa tidak puas hati dan ramai yang berpendapat bahawa beliau mengulangi kesilapan besar yang dilakukan oleh bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

Ketika zaman berkuasanya, Ka Ting terkenal dengan usahanya melobi dan cubaan menusuk ke kumpulan dan persatuan Cina serta melantik abangnya, Ka Chuan sebagai setiausaha agung MCA.

Menurut beberapa penganalis politik, jemputan MCA kepada Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong), Dewan Perniagaan dan Industri Cina (Acccim) dan Pertubuhan Tujuh Bangsa telah mengecilkan peranan mereka.

Dr Phoon Weng Keong yang telah sekian lama memantau keadaan politik MCA berkata tinfdakan Chua itu menjadikan gergasi pertubuhan Cina itu sebagai 'bahagian' parti itu.

“Jemputan ke majlis presiden lazimnya adalah terbuka kepada ahli bersekutu dan pemimpin barisan kedua, yakni mereka berhak bersuara tetapi tidak mempunyai hak mengundi,” jelasnya.

"Kedua-dua Hua Zong and Acccim mempunyai sekurang-kurangnya 2000 ahli dan pemimpin mereka bergelar Tan Sri tetapi mereka bukan ahli rasmi dalam majlis presiden, adakah status mereka lebih rendah daripada Chua Tee Yong?" soalnya lagi.

Tee Yong sejak memenangi kerusi Labis pada pilihan raya umum yang lalu dikatakan gagal menunjuk prestasi yang memberangsangkan.

Read more


Chua: Pemimpin datang dan pergi

Pemimpin datang dan pergi namun perjuangan dan agenda parti MCA akan tetap diteruskan, kata presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Katanya keputusan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun untuk meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan tidak akan membawa kesan kepada MCA dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara ahli-ahli parti.

Sambil mengucapkan terima kasih atas sumbangan Chew kepada parti, Dr Chua menegaskan dalam sebuah parti demokrasi, pemimpin boleh silih berganti tetapi agenda parti perlu diteruskan.

Dr Chua berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Chua memenangi jawatan presiden selepas mengalahkan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden Tan Sri Ong Ka Ting pada pemilihan baru 28 Mac lalu.

Sebelum ini, Chew membuat kenyataan umum jika Dr Chua menang jawatan presiden pada pemilihan itu, beliau akan melepaskan semua jawatannya.

Bagaimanapun, presiden baru itu tidak ragu-ragu apabila berkata bahawa beberapa pemimpin yang mengutamakan diri daripada perjuangan parti tidak akan mencapai kecemerlangan.

"Pandangan peribadi tak perlu dijadikan isu. Mereka kata Wee mungkin bukan penyokong saya, tapi dalam soal menyelesaikan masalah, kita ada matlamat yang sama. Itu yang lebih penting, matlmat dan perjuangan parti perlu diteruskan.

"Tapi kalau ada pandangan yang berlainan dan tidak dapat bekerjasama, maka saya berpendapat pemimpin itu tidak akan mencapai kejayaan yang cemerlang," jelasnya.

Selain Chew, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong, juga mengumumkan akan mengambil cuti setahun daripada urusan parti.

Apabila ditanya mengenai perkara itu, Dr Chua mengucapkan Dr Leong selamat maju jaya.

Beliau menolak ura-ura bahawa perkembangan terbaru itu sebagai tanda protes kepada kepimpinannya yang mungkin mencetuskan satu lagi episod perebutan kuasa dalaman parti.

"MCA ada satu juta ahli. Satu dua orang letak jawatan, saya yakin barisan kepimpinan yang dipilih tahu tanggungjawab mereka ialah untuk meneruskan perjuangan parti, satu padukan parti, stabilkan parti dan kukuhkan organisasi parti untuk pilihan raya umun akan datang.

"Kalau ada pemimpin yang tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan, maka saya dan barisan kepimpinan baru tidak dapat buat apa-apa pun," katanya.

- Bernama

Read more


Pertemuan Najib-Obama Isnin ini

Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Barack Obama di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, Amerika Syarikat, Isnin ini.

Perdana Menteri berkata tarikh dan masa mesyuarat itu telah disahkan dan mereka akan membincangkan isu-isu dua hala.

"Walaupun ia adalah mesyuarat dua hala, saya bersedia membincangkan perkara berkaitan ASEAN sekiranya Obama membangkitkan isu itu," kata Najib selepas
menghadiri hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-16 di Pusat Konvensyen Kebangsaan di Hanoi hari ini.

Najib akan berlepas ke Washington dari Kuala Lumpur malam ini untuk menyertai 40 pemimpin dunia pada sidang kemuncak dua hari itu bermula Isnin ini.

Kehadiran Najib dalam sidang kemuncak itu adalah atas jemputan Presiden Obama menerusi sepucuk surat yang diutuskan kepada perdana menteri akhir tahun lalu.

Sidang itu dihoskan oleh Obama dengan tujuan meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam mengelak keganasan nuklear, iaitu ancaman serius kepada keselamatan global.

- Bernama

Read more


Konvensyen BN, wakil MCA bertindak keluar dewan

Usaha Barisan Nasional untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dengan agenda konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.

Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang dihubungi melalui telefon berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.

Antaranya, hany

a lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.

“Konvesyen itu dianjurkan oleh BN, jadi menyanyikan laguUmno tidak mencerminkan semangat BN dan juga 1Malaysia,” kata Song lagi.

Selain itu, katanya, hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi.

Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.

Menurut Song apa yang menghangatkan lagi suasana ialah ketika ucapannya, Noh Omar yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata orang Melayu telah banyak berkorban demi rakan-rakan bukan Melayu.Menurut Noh, rakyat bukan Melayu sepatutnya berterima-kasih kerana diberikan kerakyatan.

Noh Omar jug
a memetik ucapan daripada presiden keempat MCA, Tun Tan Siew Sin dan presiden kelima MIC, Tun VT Sambathan pada zaman era tahun 1960an yang memuji Umno kerana memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.

Song berkata bahagiannya menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.

Di sebalik memulaukan sebahagian besar aktiviti konvensyen itu, Song dan ahli-ahlinya akan kembali petang ini untuk menghadiri pelancaran kempen 'BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor Yakini BN dan Selangor Take Over Plan (STOP) PRU 13.

Sementara itu, setiausaha agung MIC, S Murugesan juga melahirkan rasa kurang senang kerana tiada pemimpinnya diletakkan di pentas utama.

"Nampaknya mereka seperti tidak menghormati kami,” katanya.

Bagaimanapun katanya, aduan sudah disampaikan kepada pengerusi penganjur, Mohd Zin yang berjanji memperbetulkan keadaan.

"Mereka telah meletakkan kerusi tambahan di pentas dan berjanji kepada saya bahawa lagu Umno tidak akan dinyanyikan pada sessi petang apabila Perdana Menteri, Najib Razak tiba.

"Jadi buat masa ini, saya tiada masalah,” katanya.

Read more


Anwar: Bukit Aman ada perisik Israel

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar hari ini mendedahkan kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis Diraja Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, perkara berkenaan sebelum ini telah disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.

Bercakap ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Anwar turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu.

Beliau yang juga MP Permatang Pauh menamakan sebuah syarikat yang terbabit dan dikatakan berpengkalan di Israel.

Katanya lagi ini membuktikan maklumat negara telahpun dijual kepada ejen asing.

Katanya lagi ini juga menunjukkan sikap kerajaan yang bermuka-muka.

"Tak iktiraf Israel tapi bersekongkol dengan rejim Zionis yang kejam," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Anwar berkata penglibatan syarikat berkenaan adalah melalui subkontrak daripada sebuah syarikat tempatan untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital.

Katanya lagi, kontrak yang dikenali dengan nama APCO 425 itu disubkontrakkan kepada syarikat bernama Asiasoft Malaysia pada tahun 2008.

Katanya, dua pemegang saham dalam syarikat berkenaan ialah B System Sdn Bhd dan Asiasoft PLC.

"Asiasoft PLC didaftar di Singapura, dikuasai oleh Asiasoft Global PLC (dan) berpengkalan di Israel," katanya lagi.

Tambahnya, KDN juga telah dimaklumkan mengenai penglibatan ejen Israel melalui syarikat tersebut.

Jelasnya, menteri dalam negeri pada masa itu telah dimaklumkan mengenai kehadiran ejen Israel di bilik server komputer di ibu pejabat PDRM, katanya.

"Ogos 2008, disahkan dalam siasatan cawangan khas PDRM tentang penglibatan Israel melalui syarikat Asiasoft selaku subkontraktor.

"Tapi yang berkaitan di sini ialah surat kepada pengarah logistik (PDRM) Datuk Mahsuri Zainal kepada BPR bertarikh 1 Disember mengenai projek ini yang diserah kepada Masterplan Consultancy Sdn Bhd kemudian subkontrak kepada Asiasoft tanpa mengikut prosedur biasa.

Katanya lagi, perkara itu juga dikesan melalui satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pegawai pasukan tersebut pada tahun sama.

Polis telah menjalankan siasatan ke atas kes berkenaan, namun beliau mendakwa pegawai penyiasat berkenaan kemudiannya ditukarkan.

"Bila ada sedikit kemajuan ASP Saerah dipindah ke Taiping, kes pun jadi perlahan," katanya.

Katanya lagi, satu laporan juga telah dibuat kepada SPRM (yang dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah pada masa itu) oleh seorang ahli Yayasan Pencegah Rasuah Malaysia Tan Sri Robert Pang berkenaan kes berkenaan.

Read more


RM100: Shahrizat tawar takziah pada warga emas

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, hari ini menyifatkan pemberian RM100 setahun kepada warga emas di Pulau Pinang sebagai suatu yang memalukan.

Katanya, ini kerana kerajaan negeri pimpinan DAP itu sebenarnya meletakkan nilai warga emas di negeri tersebut sebagai kurang daripada RM10 sebulan.

"Saya rasa malu bila terbaca (Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim) Guan Eng beri RM100 setahun kepada warga emas. Kalau nak dikira tak sampai RM10 sebulan. Pemberian itu kononnya sebagai pernyataan penghargaan. Sebagai menteri yang menjaga kebajikan saya rasa malu.

"Saya nak tawarkan ucapan takziah kepada warga emas di Pulau Pinang kerana nilai mereka kepada kerajaan Pakatan Rakyat hanya kurang daripada RM10 sebulan. Itulah dia nilai warga emas di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita, di Seremban hari ini.

B
eliau ditemui selepas mendengar taklimat program pembasmian kemiskinan dan kebajikan Negeri Sembilan di Bilik Gerakan, Wisma Negeri di Seremban yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Menyifatkan pemberian itu bukan saja tidak membantu membasmi kemiskinan, jumlah RM100 itu juga katanya tidak dapat menampung keperluan warga emas terbabit.

"Tapi bila saya datang ke Negeri Sembilan di bawah kerajaan BN (Barisan Nasional) yang dipimpin Menteri Besar Datuk Mohamad Hasan, saya dapati program pembasmian kemiskinan dan kebajikan lain di negeri ini berjalan begitu baik sekali.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana mengikut rekod kami pencapaian Negeri Sembilan dalam program untuk pembasmian kemiskinan begitu baik sekali berbanding kerajaan Pulau Pinang di bawah kerajaan pakatan pembangkang," katanya.

Beliau berkata, sehingga 25 Mac lalu hanya terdapat 95 keluarga dikategorikan miskin tegar di Negeri Sembilan dan 646 di dalam kategori miskin iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM440 sebulan.

"Ini menunjukkan program jaringan keselamatan sosial Negeri Sembilan begitu berkesan sekali dalam membasmi kemiskinan di negeri itu. Kita berharap akan mencapai sasaran NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) kita untuk pembasmian kemiskinan tegar dan miskin di Negeri Sembilan pada hujung tahun ini," katanya.

- Bernama

Read more


Posmen, kerani pos dapat gaji baru-Tahniah..

KUALA LUMPUR 6 April-Penyusunan semula tangga gaji dan elaun hampir 2,000 posmen dan kerani pos agar selaras dengan penjawat awam lain akan berkuatkuasa Julai ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Beliau berkata, penyusunan semula yang sudah mendapat persetujuan kerajaan itu akan diumumkan Pos Malaysia Bhd selepas urusan pentadbiran dan penstrukturan semula selesai.
"Seperti yang diketahui umum gaji pokok posmen sekarang ialah RM610 sebagai permulaan dan RM710 untuk kerani pos, itu boleh dikatakan sebagai di bawah paras kemiskinan.
"Dengan dasar untuk menyemak semula gaji ini dan beberapa elaun pokok maka dapatlah dianggap bahawa para posmen serta kerani pos kita nanti sejajar pendapatan mereka dengan mereka yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementerian itu di Istana Budaya di sini, hari ini.
Rais berkata, penstrukturan itu akan disokong dengan kenaikan harga setem serta kos penghantaran surat dan bungkusan ke luar negara dan di dalam negara, berkuatkuasa Julai ini. - Bernama

Read more


Anwar akui hantar surat kepada Agong

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku beliau ada menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Sept 2008 untuk memohon menghadap bagi memaklumkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap pakatan pembangkang bagi membentuk kerajaan.

Pengakuan Anwar itu dibuat ketika beliau mencelah ucapan penggulungan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat, malam semalam.

"Pada 18 September, saya mendapat persetujuan pimpinan tiga parti pembangkang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk menulis kepada Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) supaya diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan usul dewan sudah hilang kepercayaan terhadapnya dan kepimpinan beliau.

"Mustahil jika saya berani menulis surat itu jika saya tidak mendapat perakuan Ahli Parlimen lain dan selepas surat itu ditolak, saya menulis pula kepada Speaker tetapi turut ditolak dan kemudian kepada Tuanku Mizan," katanya.

Pendedahan Anwar itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh seketika.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menyebut nama-nama anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwanya telah membuat perakuan untuk menyokong pakatan pembangkang ketika itu.

Mohamed Nazri berkata Anwar sudah pasti akan menghantar surat tersebut terus kepada Seri Paduka Baginda jika beliau berjaya "menarik" antara 20 hingga 30 anggota Parlimen BN tanpa perlu bersusah-payah mengikut saluran pertama dan kedua itu.

"Sepatutnya Anwar membawa tandatangan 20 atau 30 orang yang berjaya ditariknya dari BN kepada Yang di-Pertuan Agong, tetapi dia tidak ada. Pembangkang ada 82 dan BN ada 140, bagaimana nak buat undi tak percaya itu," katanya.

Mohamed Nazri juga berkata dakwaan bahawa ramai anggota Ahli Parlimen BN melompat parti untuk menyertai pakatan pembangkang adalah tidak benar, sebaliknya, anggota Parlimen mereka pula yang keluar parti untuk menjadi calon Bebas.

Katanya, tuduhan bahawa BN memberi imbuhan atau sogokan kepada wakil rakyat pembangkang yang menyertai BN juga tidak berasas dan rakyat boleh menilai sendiri pembohongan itu selepas anggota Parlimen terbabit membuat pendedahan.

Beliau berkata BN tidak perlu mencuri wakil rakyat pembangkang kerana mereka mempunyai kerusi mencukupi di Dewan Rakyat walaupun bukan dua pertiga.

SPRM tahan 25 ahli politik

Mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamed Nazri berkata, bagi tempoh 1 Jan 2009 hingga 28 Feb lepas, seramai 25 ahli politik ditahan dan 15 daripadanya dihadapkan ke mahkamah.

Daripada jumlah tersebut, beliau berkata 13 daripada BN.

"Ini membuktikan SPRM badan profesional dan bukannya alat politik UMNO dan BN. Sumbangan agensi itu perlu diberi pengiktirafan tinggi kerana siasatan dilakukan tanpa dipengaruhi arahan mana-mana pihak," katanya lagi.

Dewan kemudian meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Persidangan dewan bersambung Isnin ini.

- Bernama

Read more


PM: Iktiraf bangsa dulu tak canggah 1M'sia

Konsep 1Malaysia tidak bercanggah jika seseorang menganggap dirinya Melayu atau Cina, terlebih dahulu.

Justeru, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kenyataan timbalannya bahawa bahawa beliau (Muhyiddin) "seorang Melayu" tidak bercanggah dengan konsep 1Malaysia.

"Apa yang beliau katakan selaras dengan perlembagaan yang menyebut mengenai kaum asal kita. Tapi beliau juga berkata beliau komited kepada 1Malaysia.

"Jadi, saya tidak nampak itu sebagai satu percanggahan. Takkanlah kerana menjadi seorang Melayu, kita menentang 1Malaysia atau kita tidak berfikiran sebagai seorang rakyat Malaysia.

"Begitu juga, jika kita seorang rakyat Malaysia keturunan Cina, itu tidak bermakna kita tidak berfikiran seperti seorang rakyat Malaysia atau tidak menerima konsep 1Malaysia," katanya kepada Bernama.

Pada sidang media di lobi Parlimen semalam, Muhyiddin mengakui bahawa dia “adalah Melayu terlebih dahulu tetapi tidak bermakna sebagai Melayu dia bukan rakyat Malaysia.

Beliau membuat penjelasan itu sebagai reaksi kepada pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang mencabarnya untuk menyatakan sama ada dia adalah Melayu atau rakyat Malaysia terlebih dahulu.

Lim mendakwa pendirian timbalan perdana menteri bercanggah dengan tuntutan 1Malaysia yang dicanangkan oleh kerajaan.

Ahli parlimen Ipoh Timur itu juga mempersoalkan ketulenan 1Malaysia di hati Muhyiddin menyebabkan pertikaman lidah kedua-dua mereka sebelum ini.

Muhyiddin juga semalam membidas Lim yang didakwa berniat jahat dan mahu menjejaskan hubungannya dengan Najib.

Sumber malaysiakini

Read more


Sultan Pahang arahkan Kartika tak disebat

Kartika Sari Dewi Shukarno tidak akan menjalani hukuman sebatan syarie.

Sebaliknya, menurut laporan AP yang memetik peguamnya, Adham Jamalullail - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersetuju bekas model itu menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat.

Perkara itu dimaklumkan kepada Kartika melalui sepucuk surat semalam yang memaklumkan mengenai keputusan itu.

Surat berkenaan ditandatangani Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu, Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Surat tersebut berbunyi:"Menjunjung titah perintah kebawah Duli Yang Maha mulia Sultan Pahang, saya dengan ini memaklumkan kepada Puan bahawa berikutan daripada Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang yang diadakan pada 3 Mac 2010, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sulatan Pahang selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang telah berkenan memutuskan bahawa sebagai ganti kepada hukuman sebat Puan dititah perintah supaya menjalankan kerja khidmat kemasyarakatan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatima, Kuantan di alamat Jalan Tengku Muhammad, 25050 Kuantan selama 3 minggu mulai 2 April 2010."

Menurut bapanya pula, anaknya juga diperintahkan ke Jabatan Agama Islam Pahang di Kuantan esok.

Shukarno Mutalib (kiri, bersongkok) berkata, beliau dimaklumkan oleh peguam mereka bahawa anaknya diminta melaporkan diri ke jabatan tersebut pada jam 8.30 pagi esok.

“Esok saya akan serah dia (Kartika) pada Jabatan Agama. Katanya untuk jalani kerja-kerja (khidmat) masyarakat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.

Pada 3 Mac lalu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda akan mempersembahkan kes Kartika Sari Dewi untuk makluman Sultan Pahang sebelum perkara itu diputuskan, selepas baginda (Tengku Abdullah) mengadakan perjumpaan dengan model sambilan berkenaan.

Menurut Tengku Abdullah, Kartika Sari Dewi mungkin diampunkan oleh Sultan Pahang dan bebas daripada hukuman itu atau akan disebat dalam tempoh terdekat.

Mengulas keputusan itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Sultan Pahang berkenan meringankan hukuman terhadap Kartika daripada hukuman sebat kepada melakukan khidmat masyarakat atas sebab-sebab perikemanusiaan.

"Itu adalah keputusan atas budi bicara Tuanku Sultan, hak mutlak Tuanku Sultan dan Tuanku Sultan juga membuat keputusan itu atas sebab-sebab perikemanusiaan.

"Dia (Kartika Sari Dewi) bukan diampunkan daripada kesalahan itu, tapi hukuman itu diringankan, ini adalah ehsan Tuanku Sultan,” titah baginda kepada Bernama di Kuantan.

Kartika sementara itu berkata beliau bersedia melakukan hukuman gantian itu walaupun agak terkejut dengan perkembangan berkenaan.

"Saya harap khidmat masyarakat ini akan memberi pengajaran kepada orang ramai supaya menjauhi arak," katanya.

Menurutnya, dua anaknya akan tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Jawang, Sungai Siput sepanjang dia menjalani kerja khidmat masyarakat itu nanti.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengalu-alukan keputusan meringankan hukuman sebat kepada Kartika kepada kerja khidmat sosial.

Bercakap di sidang media di lobi parlimen hari ini, Nazri berkata keputusan itu adalah "bagus."

Keputusan itu juga disambut baik oleh menteri berkaitan ehwal Islam Datuk Jamil Khir Baharom yang berkata keputusan itu dibuat mengikut bidang kuasa Sultan Pahang.
Sementara itu, pengarah eksekutif Sister in Islam (SIS), Dr Hamidah Marican berkata, SIS mengalu-alukan keputusan meringankan hukuman sebat kepada Kartika kepada kerja khidmat sosial yang diputuskan oleh Sultan Pahang.

Read more

Nuffnang

Central Blog Fans

Central Blog on Facebook

Tweet Us!

Followers

Tracker


View My Stats

Wibiya

Web hosting for webmasters